Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad bercakap kepada media selepas menghadiri pertemuan dengan pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk membincangkan pembahagian kawasan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap terdesak untuk memastikan partinya kekal berkuasa sehingga sanggup terlibat dengan gerakan Langkah Sheraton.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menyifatkan, sikap yang ditunjukkan oleh penyandang Parlimen Marang itu tidak sama seperti keperibadian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini kerana kata beliau, sekiranya Allahyarham Nik Abdul Aziz masih ada sudah pasti beliau tidak akan bersetuju dengan Langkah Sheraton itu kerana menghormati mandat yang telah diberikan oleh pengundi-pengundinya.

“Abdul Hadi sangat terdesak dalam memastikan Pas kekal berkuasa dan PH tidak kekal berkuasa kerana semakin lama PH berkuasa, semakin terkenal kita dan semakin sukar untuk Pas mengendalikan ahli dan penyokong mereka sendiri.

“Saya tidak terkejut jika Hadi adalah salah seorang dalang kerana ia boleh berfikiran jahat dan seperti yang saya katakan Allahyarham tok guru (Nik Abdul Aziz) tidak akan bersetuju dengan perkara itu (Langkah Sheraton),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik (MUDA), di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi ketika berucap pada Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan Ke-32 Pentadbiran Membangun Islam di Kota Bharu, Kelantan dilapor mengakui beliau memulakan Langkah Sheraton, bertujuan menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) selepas Pas beranggapan gabungan itu sedang berusaha menghapuskan hak keistimewaan Melayu.

Menurut laporan itu, ia berikutan protes besar-besaran ke atas cubaan PH meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, sebelum ini.

Beliau turut mengakui memulakan langkah bagi menghentikan rancangan PH dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khalid memaklumkan, beliau mungkin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, beliau akan melepaskan kerusi itu untuk memberi laluan kepada orang lain dan sementara beliau sendiri memilih untuk bertanding di kawasan lain.

“Saya telah menjadi Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal, dan sepanjang penggal ini kami juga telah membangunkan barisan kedua kami.

“Saya rasa inilah masanya untuk saya memberi laluan kepada barisan kedua mengambil alih,” katanya.

Tanpa merahsiakan Khalid memberitahu, pucuk pimpinan parti memaklumkan bahawa beliau dikhabarkan akan bertanding di Parlimen Titiwangsa.

“Berkemungkinan besar, tetapi tiada yang pasti sehingga kita menerima pencalonan untuk memberi laluan kepada pemimpin muda.

“Walaupun saya akan keluar dari Shah Alam dan mungkin berpindah ke tempat duduk lain tetapi pada asasnya saya memberikan kerusi Shah Alam semasa kepada pemimpin muda,” tambahnya. – MalaysiaGazette