KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan diseru supaya mengambil pendekatan selaras dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan mahasiswa pulang mengundi.
Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Muhammad Danial Alimin berkata, langkah itu akan menggalakkan mahasiswa berpatisipasi dalam proses pilihan raya secara aktif dan cakna terutamanya kepada pengundi yang akan memilih buat pertama kali.
Katanya, GPMS menyambut baik pelepasan kepada mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagaimana yang diumumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
“GPMS berpendirian pengumuman pelepasan kuliah dan aktiviti universiti sepanjang tempoh 17 sehingga 21 November 2022 adalah satu langkah yang demokratik bagi memberikan ruang kepada mahasiswa untuk melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi,” katanya menerusi kenyataan.
Artikel berkaitan: Penuntut IPT diberi pelepasan balik mengundi dari 17 hingga 21 Nov.
Muhammad Danial berkata, pihaknya turut berharap agar pentadbiran universiti dapat menyahut seruan KPT dengan tidak menghalang atau menyukarkan mana-mana mahasiswa untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing.
Tegas beliau, mana-mana mahasiswa yang berdepan dengan halangan dalam perkara tersebut diminta supaya melapor kepada GPMS melalui Facebook rasmi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Pada masa sama katanya, GPMS menggesa mahasiswa mengambil peluang pelepasan yang diberikan KPT itu untuk turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak mensia-siakan peluang diberikan. – MalaysiaGazette