SHAH ALAM – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo tanpa berpakat dengan mana-mana blok politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdepan risiko besar termasuk diboikot pengundi.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini hanya akan menjejaskan undi kepada BN dan UMNO.
“Saya tak fikir ada parti dominan boleh menang besar. Ini pandangan semua pihak, tanyalah penganalisis politik, tokoh-tokoh akademik, pengkaji, penyelidik, semua mengatakan tidak ada parti yang boleh menang besar.
“BN sekarang ini menghadapi risiko yang amat besar sebab dia terlalu yakin kononnya dia boleh menang dua pertiga.
“Sebab itu BN menggila-gila nak pilihan raya walaupun menghadapi ancaman banjir, sebab dia tahu kalau banjir, ramai tak boleh keluar mengundi, ini beri kelebihan kepada BN, dan macam-macam lagi usaha mereka.
“Tetapi saya percaya BN ini silap hari bulan keris makan diri,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, malam ini.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Jentera PRU15 Gerakan Tanah Air (GTA) Shah Alam.
Tambahnya, tindakan Perdana Menteri yang mahu mengadakan PRU15 pada tahun ini yang bakal bertembung dengan musim tengkujuh dan banjir hanya menjejaskan jumlah keluar mengundi.
“Majoriti rakyat tidak suka pilihan raya berat sebelah, dia buat juga, bererti BN sudah mempersendakan minda rakyat, sudah tentu rakyat rasa kecewa.
“Adakah mereka fikir ada rakyat tak marah, jadi ini boleh mengurangkan undi BN,” katanya.
Katanya lagi, apabila tiada mana-mana parti menang boleh mampu mengelak daripada berulang lagi insiden seorang Perdana Menteri yang bersikap diktator.
“Bila ada kerajaan campuran, barulah tak boleh mana-mana Perdana Menteri bersifat secara halus menjadi seorang diktator.
“Sebab ada pelbagai parti dalam kerajaan, jadi ada baiknya walaupun ada orang kata mesti ada parti dominan, baru ada kestabilan politik.
“Kena menang satu kumpulan baru ada kestabilan politik, pendapat ini sudah lapuk
“Kestabilan politik tentunya adalah kerajaan yang bersih dan Kerajaan yang bersih hanya boleh wujud jika ada pelbagai parti mewakili kerajaan, tidak satu parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette