Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berucap pada Program Jom Kenali Agrikomoditi di Hotel Grand Barakah Ampang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 23 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Presiden Pengganti Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata berkata demikian ketika ditanya desas-desus Nurul Izzah Anwar akan bertanding di kawasannya.

“Ini adalah negara demokrasi, saya punya prinsip adalah sesiapa sahaja boleh datang ke Ampang untuk bertanding. Mereka sangat dialu-alukan,” katanya selepas merasmikan Program Jom Kenali Agrikomoditi di sini, hari ini.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media. Foto MUHD NA’IM, 23 OKTOBER 2022.

Dalam pada itu, Zuraida mengesahkan akan kekal bertanding di kawasan tersebut selepas menyandang kerusi Parlimen itu sejak 2008 lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan Datuk Seri Anwar yang bakal bertanding di Tambun, Zuraida sempat menitipkan ucapan ringkas buat Pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Saya doakan yang terbaik buat beliau,” katanya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, PBM akan mengumumkan keputusan permohonannya untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada hari penamaan calon.

Tambahnya, kerjasama itu diharapkan dapat dilakukan segera kerana ia mungkin akan menjadi isu yang lain sekiranya terjalin selepas PRU15.

Pada Julai, PBM telah menghantar surat permohonan untuk menjadi salah satu parti komponen BN bagi bekerjasama menghadapi PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast