KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar hanya mengumumkan dua jawatan timbalan perdana menteri.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Setiausaha Akhbar kepada Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah yang membetulkan laporan media semalam.
Menurut Tunku Nashrul, Presiden PKR itu hanya mengumumkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).
“Pendirian dan semangat ini konsisten sejak era Pakatan Rakyat sehingga kini.
“Saya memohon jasa baik rakan-rakan media supaya dapat memperbetulkan laporan yang sudah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan, Anwar berkata, PH akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM) diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.
Laporan itu menyebut, cadangan itu merangkumi seorang TPM masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Cadangan ini dari dulu lagi sejak zaman Pakatan Rakyat, kita akan ada satu TPM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan satu dari Sarawak.
“Tetapi kalau ada perubahan, nanti kita akan bincang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah PH Sabah.
Pada 4 September tahun lepas, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata cadangan mewujudkan tiga jawatan TPM tersebut mungkin boleh direalisasikan jika PH berpeluang merebut kembali kuasa di peringkat persekutuan. – MalaysiaGazette