Saarani Mohamad

TANJUNG MALIM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak pernah gentar berdepan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jentera parti UMNO dan BN telah lama melakukan pelbagai persediaan untuk berlawan habis-habisan dengan sesiapa sahaja termasuk calon ‘nama besar’ dari parti pembangkang.

“Saya juga percaya pengundi telah belajar daripada kesilapan (pada PRU14 yang lalu), tak kanlah ‘orang’ Tambun begitu mudah tertipu dan terpedaya dengan Anwar Ibrahim yang telah ditolak oleh pengundi Melaka, Johor dan Sarawak pada pilihan raya negeri yang lalu.

“Keputusan Pakatan Harapan meletakkan Anwar Ibrahim untuk bertanding di Tambun tidak membimbangkan saya, tidak juga membuatkan saya gusar atau tidak tidur malam kerana saya tahu jentera parti sudah bersiap sedia dan kami (BN) yakin akan meraih undi yang banyak pada PRU15 nanti,”  katanya.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama keluarga K. Devagi, 57, sempena sambutan Deepavali di Jalan Lama Kampung Chengai, Sungkai, di sini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan meletakkan Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah sebagai calon BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Saarani berkata, keputusan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan.

“Barisan Nasional ini ada kebijaksanaan yang tersendiri, kami akan umum bila tiba masanya dengan calon yang betul,” katanya.

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Aminuddin dijangka dipilih BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun seperti dicadangkan Badan Perhubungan UMNO Perak.

Pada PRU14, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai ura-ura meletakkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di kerusi Parlimen Gerik pada PRU nanti, Saarani berkata, BN tidak akan meletakkan calon payung terjun.

“Barisan Nasional tidak akan mencipta masalah baharu, kami selesaikan masalah sedia ada dan jangan mencipta masalah baharu. Insya-Allah tidak ada calon payung terjun,”  katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerusi Parlimen Gerik dijangka menyaksikan pertembungan antara dua pemimpin ‘muda’ UMNO iaitu Asyraf Wajdi serta calon dari DAP iaitu Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee Chuan How pada PRU15.

Pada PRU14, calon BN Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia pada November 2020 memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti sebanyak 5,528 undi. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast