Khairy Jamaluddin.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berlepas ke Filipina hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia Ke-73 (WPRCM) di Manila bermula esok hingga Rabu.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Khairy yang juga Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijadual menyampaikan ucaptama pada sesi perbincangan mengenai Komunikasi untuk Kesihatan (Communication for Health) dan seterusnya menjadi seorang daripada panelis bagi forum tersebut.

Antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah isu penjagaan kesihatan primer, pasca Covid-19 dan kesihatan mental antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Beliau juga dijangka mengadakan beberapa siri mesyuarat dua hala dengan negara-negara berkepentingan bagi membincangkan isu strategik dua hala antaranya bersama Menteri Kesihatan New Zealand, Menteri Kesihatan Brunei dan Timbalan Menteri Kesihatan Global dan Kebajikan Jepun.

“Beliau turut dijadualkan untuk membuat kenyataan celahan (intervention statement) ke atas laporan oleh Pengarah Rantau Pasifik Barat dan seterusnya memuktamadkan agenda perbincangan berhubung Komunikasi untuk Kesihatan serta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit,” kata KKM menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah KKM, Khairy akan menggunakan platform berkenaan untuk mengadakan konsultasi dan perbincangan lanjut bersama ahli Lembaga Eksekutif WHO lain demi kepentingan bersama dalam sektor kesihatan.

Selain itu, WPRCM Ke-73 akan membincangkan isu dan resolusi yang telah dipersetujui pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang berlangsung pada 22 hingga 30 Mei lalu.

Dalam masa sama, cadangan agenda bagi Mesyuarat Lembaga Eksekutif ke-152 (Excutive Board-152) yang akan diadakan pada Januari tahun depan akan dibincangkan.

Turut sama dalam delegasi berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawai kanan KKM. -MalaysiaGazette