Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang terlibat dengan pemerasan wang perlindungan sebuah kedai di Sungai Jarom ditahan polis di Kuala Langat dekat sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Bin Mohd Nor @ Saleh, suspek berusia 42 tahun ditahan susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita.

Berdasarkan laporan wanita 34 tahun tersebut, kain rentang khemah milik kedainya telah dibakar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Pengadu juga pernah membuat laporan polis menyatakan beliau pernah dihubungi oleh seorang lelaki India yang meminta wang perlindungan kerana telah menjaga kedai milik pengadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Ahmad Ridhwan, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit berserta simkad daripada suspek.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Kes berkenaan disiasat dibawah seksyen 385 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Suspek juga berhadapan dengan hukuman penjara 14 tahun kerana boleh dituduh serentak di bawah seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api.

Terdahulu, tular dua video r yang dimuatnaik di Tiktok mengenai kejadian pemerasan wang perlindungan dan kebakaran kain rentang khemah di sebuah kedai runcit di sekitar kawasan Sungai Jarom.

Video berkenaan dipercayai dimuat naik oleh mangsa. -MalaysiaGazette