S.A Vigneswaran melayan Ismail Sabri Yaakob dan Wee Ka Siong ketika medua-dua tetamu itu menghadiri rumah terbuka Deepavali Presiden MIC itu, di Shah Alam, Selangor. Foto: FB Ismail Sabri Yaakob.

SHAH ALAM – Pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menjejaskan kemeriahan sambutan perayaan Deepavali yang diraikan penganut Hindu hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebelum ini ada kata-kata kononnya pihaknya tidak menghormati sensitiviti dan perasaan masyarakat Malaysia beragama Hindu kerana membubarkan Parlimen untuk diadakan PRU15 dalam tempoh hampir dengan sambutan Deepavali.

“Saya lihat walaupun dalam keadaan musim menghadapi pilihan raya tetapi ia tidak menjejaskan sambutan hari Deepavali. Pembubaran Parlimen langsung tidak menjejaskan sambutan malah lebih meriah. Jadi saya mengucapkan Deepavali Valthukkal,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri rumah terbuka Deepavali Presiden MIC Tan Sri S. A Vigneswaran, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat sambutan perayaan itu tahun ini amat meriah dan melambangkan semangat kekeluargaan Keluarga Malaysia seperti yang sentiasa diidamkannya.

“Inilah sebenarnya keharmonian yang kita perlukan bagi kita meneruskan pembangunan negara,” kata beliau.

Ismail Sabri yang tiba pada 11.15 pagi, meluangkan masa lebih satu jam di rumah terbuka Deepavali di kediaman Vigneswaran di Kota Kemuning, di sini.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – Bernama