UTM

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meminda tiga sesi Majlis Konvokesyen universiti itu berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pindaan itu bertujuan memberi laluan kepada semua warga universiti, graduan dan ahli keluarga menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ketika pilihan raya.

“Dimaklumkan bahawa UTM dengan limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor (Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah) telah bersetuju meminda sesi Majlis Konvokesyen UTM ke-66 yang kebetulan jatuh pada 19 Nov 2022 iaitu pada tarikh PRU15,” menurut kenyataan itu.

Sesi pertama pada 8 pagi 19 Nov dipinda kepada 8 pagi 24 Nov; sesi kedua pada 8 pagi 20 Nov kepada 2 petang 24 Nov dan sesi ketiga pada 2 petang 20 Nov kepada 8 pagi 25 Nov ini.

Menurut UTM, sesi keempat hingga sesi kesembilan bermula 21 Nov hingga 23 Nov adalah kekal seperti yang telah dijadualkan.

Selaras dengan pindaan itu, UTM meminta semua graduan merujuk laman web rasmi di pautan www.utm.my/convocation untuk sebarang maklumat terkini.- BERNAMA