KUALA LUMPUR – Pas perlu menghormati cadangan Barisan Nasional (BN) untuk menamakan tiga Timbalan Perdana Menteri sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, biar pun Pas tidak bersetuju dengan cadangan itu namun BN tetap menghormati pandangan parti Islam itu kerana masing-masing pandangan tersendiri.
“Itu pandangan daripada Pas, biar Pas dengan pandangan dia. Kita dengan pandangan kita (BN),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Ismail Sabri merasmikan Majlis Penutupan Ekpresi@Finas di Kompleks Studio Merdeka, Finas di Hulu Kelang.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tiga jawatan TPM dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.
Ahmad Zahid berkata, jawatan nombor dua di dalam kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan Ahmad Zahid itu dilihat sebagai janji ‘mi segera’ dan terdesak mencari sokongan untuk memenangi pilihan raya kali ini.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri mengakui ketika ini BN masih belum ada calon untuk mengisi jawatan itu sehinggalah BN memenangi PRU-15 pada 19 November ini.
“Tak tahu lagi, biar kita menang pilihan raya dulu, kalau perkara ini di dalam manifesto kita, tentu sahaja kita akan pastikan ianya dilaksanakan.
“Bagaimanapun kita tunggu lepas kita menang dulu, lepas itu kita bincanglah. Tapi tunggulah, semua kena undi kita dululah, bila kita menang nanti, baru kita akan tetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PRU15: Ahmad Zahid cadang tiga jawatan TPM dimasukkan dalam Manifesto BN