Datuk Seri Mahdzir Khalid.-Foto MUHD NA'IM, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 232,000 pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bayaran BMT sebanyak RM300 sebulan diagihkan tahun ini kepada pekebun kecil bagi bulan November dan Disember.

“Sekarang sudah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu sudah ada, cuma tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. Insha-Allah kita bayar.  

“Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800,” katanya dalam sidang media selepas majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur peringkat negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Untuk rekod, bayaran BMT tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.

Sementara itu Mahdzir berkata, Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10,000 hektar melibatkan 7,180 pekebun kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

Tahun ini katanya, RISDA menerima permohonan untuk tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

“Walaupun sektor getah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini berikutan kenaikan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung Malaysia berbanding RM9,230 sebelum ini,  telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang berjumlah lebih RM39 juta.

Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh RISDA Plantation Sdn Bhd kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang. – MalaysiaGazette