Wan Rosdy Wan Ismail (empat dari kiri) menyampaikan replika cek bernilai RM41,007,500 kepada Datuk Ir. Thong Kok Seng, Setiausaha Sustainable Modernization Agricultural Cameron Highlands (tiga dari kanan) sambil disaksikan oleh Tengku Ahmad Badli Shah dan Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Setiausaha Kerajaan Pahang (tiga dari kiri) dan Muhd Rizal Baharom, Pengarah Pertanian Negeri Pahang (paling kanan).

KUALA LUMPUR – Sebanyak 187 daripada 304 permohonan Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) dan Dana Pembiayaan Agromakanan 2 (DPA2) dengan nilai RM41 juta peringkat negeri Pahang telah diluluskan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, bank itu sedang memproses pembiayaan daripada dana ini dan akan diluluskan pada tahun ini.

”Pelaksanaan program DPAKM dan DPA2 yang diperuntukkan sebanyak RM1 bilion di bawah Agrobank ini dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara sekali gus memperkasakan sektor pengeluaran makanan. Menerusi program ini, Agrobank berharap agar ia dapat dimanfaatkan lebih ramai usahawan di seluruh negara,” katanya.

Menariknya program DPAKM ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun dengan kadar keuntungan serendah 3%.

Selain daripada itu, bagi tempoh enam bulan pertama, Agrobank turut memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan 0% dan ini bermakna para pelanggan akan dikenakan kadar keuntungan serendah 3% hanya pada bulan ke-7 pembiayaan dan seterusnya,.

Tambah beliau lagi, selain program pembiayaan lain di bawah DPAKM ini, Agrobank turut menawarkan Program Pemulih NewBiz yang merupakan salah satu inisiatif berterusan Agrobank, dalam memainkan peranannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam sektor pertanian.

“Ini bagi memenuhi tanggungjawab ‘melangkaui perbankan’ dengan menawarkan pelbagai kemudahan yang dapat membantu komuniti terpinggir dan tidak mendapat liputan seperti asnaf.

“Selain itu, program ini menyokong individu yang tidak mempunyai pekerjaan namun sentiasa mencari peluang baharu untuk menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf sosio-ekonomi diri dan keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette