KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sukar membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya undi Melayu di 31 kerusi Parlimen di Semenanjung tidak berpecah.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, perkara itu menyebabkan DAP bimbang dengan kesatuan undi Melayu.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, kerusi-kerusi tersebut disandang oleh beberapa nama besar dalam kepimpinan PH, termasuk mereka yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri.
“Seandainya situasi pengundi Melayu solid ini berlaku yang menyebabkan PH sukar membentuk kerajaan, sudah pasti pengundi Cina berfikir beberapa kali untuk mengundi DAP. Apa faedah mereka mengundi DAP jika sekadar untuk menjadi pembangkang di Parlimen?
“Dengan pengertian lain, jika pengundi Cina tetap memberi undi kepada DAP, bermakna wakil kaum Cina dalam kerajaan yang bakal terbentuk selepas PRU-15, akan mengandungi kurang bilangan menteri dari kaum mereka,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Mohd. Zuhdi memberitahu, corak pengundian kaum Cina tidak ditentukan oleh kekuatan parti-parti politik sama ada DAP, MCA atau Gerakan.
Sebaliknya, beliau menambah, corak pengundian kaum Cina dipandu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bukan kerajaan (NGI) mereka.
“Oleh sebab itu, pengundi-pengundi Cina pernah memberi sokongan besar kepada MCA dan Gerakan sebelum ini, sebagaimana mereka memberi sokongan besar kepada DAP sekarang. Dalam PRU-15 corak pengundian itu masih dipengaruhi oleh NGO dan NGI tersebut,” jelasnya.
Mohd. Zuhdi berkata, NGO dan NGI kaum Cina yang terdiri daripada golongan peniaga dan persatuan pendidikan memerlukan bilangan menteri dari kaum mereka yang mencukupi sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Perikatan dan Barisan Nasional (BN) memerintah.
Menurut beliau, sudah tiga kali PRU mereka memberi sokongan besar kepada DAP tetapi hasilnya kurang bilangan menteri yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan.
“Kali ini, mereka mahu memastikan adakah PH benar-benar boleh memerintah, jika mereka mengundi PH sekali lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zuhdi memberitahu, sekiranya undi Melayu berpecah, maka PH mempunyai peluang besar untuk menang, justeru pengundi Cina boleh memberi sokongan kepada DAP.
“Sebaliknya jika undi Melayu tidak berpecah, harapan untuk PH menang adalah tipis, lalu apa guna mereka memberi sokongan besar kepada DAP yang hanya akan menjadi pembangkang?
“Oleh sebab itu, perpecahan pengundi Melayu adalah satu berita gembira kepada DAP,” jelasnya. – MalaysiaGazette