Arabath Ali tampil menyumbang kepada lebih 200 keluarga B40 dalam kalangan masyarakat India.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur (NGO) berterusan menyumbang barangan asas dan keperluan kepada golongan B40 dalam kalangan masyarakat India di sekitar Parlimen Batu sempena sambutan Deepavali.

NGO ini juga menaungi lebih 30 pertubuhan lain di bawahnya dalam melakukan pelbagai gerak kerja kebajikan dan sukarelawan sejak beberapa tahun kebelakangan ini hadir membantu golongan tidak berkemampuan menyambut pesta cahaya itu dengan lebih meriah.

Lebih 200 keluarga telah disantuni oleh Pertubuhan Kebajikan Arabath KL ini yang diterajui Pengerusinya, Arabath Ali.

Arabath yang juga menjadi sebutan bakal calon Parlimen Batu mewakili Barisan Nasional (BN) itu, dirinya sudah lama melakukan kerja-kerja amal dan berjuang membela nasib golong memerlukan sejak sekian lama.

“Kali ini kita lebih agresif menyalurkan bantuan barangan keperluan sambutan Deepavali selain lain-lain bukan kerana pilihan raya sahaja sebaliknya jika tidak PRU sekali pun, kita tetap tampil turun.

“Lebih 200 keluarga telah kita dekati khasnya dari PPR Intan Baiduri dan Beringin Batu. Yang sebelum-sebelum ini juga ada. Kita akan terus gerakkan lagi bantuan sumbangan mengikut keperluan pada setiap masa.

“Kita fokus bantu golongan B40 dalam kalangan masyarakat India kerana ketika ini komuniti itu sedang menyambut Deepavali, kita sudah mula menyumbang sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan juga kehadiran beberapa parti politik lain juga.

“Jangan ada yang terpinggir, kita agenda kita. Selagi kita mampu, kita akan tampil. Masyarakat setempat juga kini sudah beralih dan celik, masing-masing tahu siapakah sebenarnya yang benar-benar akan tampil membantu membela berjuang untuk mereka dan bukan retorik sepanjang masa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali Arul Alavundeen

Walaupun Arabath aktif dalam NGO sehingga kini namun pemimpin India Muslim itu sudah lama menyatakan hasrat untuk menyertai politik dan membantu BN merampas Parlimen Batu daripada Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan BN akan mempertaruhkan 70 peratus muka baharu dalam PRU dengan berkemungkinan besar antara lain meletakkan calon dalam kalangan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

Parlimen Batu merupakan antara kawasan yang dijangka mempertaruhkan muka baharu dan individu yang lebih dikenali pengundi kerana kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Kata Arabath secara jujur, dirinya sentiasa dekat dengan masyarakat setempat mendengar rintihan dan keluh kesah mereka sepanjang masa selama beberapa tahun terutamanya ketika pandemik melanda negara.

“Pembangkang walaupun diberikan peluang memerintah tidak melaksanakan apa yang mereka janjikan. Kini mereka berjanji lagi di susuli dengan pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan BN, kini kita berpeluang membetulkan semuanya kembali.

“Saya sudah laksanakan lebih 250 misi bantuan, termasuk program kebajikan, pendidikan dan sosio ekonomi di Parlimen Batu. Sebagai ahli UMNO, jika berpeluang, saya akan cuba kembalikan Parlimen Batu ini kepada BN,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast