Pameran lukisan illustrasi 'Wajah Dan Madah Syed Wafa' sempena Ekspresi@Finas berlangsung selama selama dua hari bermula kelmarin.

KUALA LUMPUR – Nama Syed Wafa pasti diingati pembaca setia Majalah URTV terbitan Utusan Melayu (M) Bhd. kerana muncul sebagai kolumnis popular pada tahun 1997 hingga 2002 yang mencatatkan edaran 120,000 setiap awal bulan sementara 90,000 edaran setiap pertengahan bulan.

Sebab itu, tidak hairanlah beliau yang pernah menghiasi satu muka surat URTV diberi keistimewaan menyumbang dengan art paper kerana ia bukan sahaja menjadi  pilihan pembaca setia malah ia juga menjadi hiasan para pelajar.

Sebagai pelukis eksklusif pertama di Malaysia, Syed Wafa diberi penghormatan melukis illustrasi wajah artis terkenal luar negara dan kemudian diserahkan sendiri kepada artis berkenaan.

Kebanyakan mereka amat menghargai karya beliau dan merupakan cenderahati  dari Malaysia untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Bukan itu sahaja, malah Syed  Wafa juga turut melukis illustrasi wajah artis tanahair serta para VVIP yang mana mereka amat berpuashati.

Sehingga ini, beliau telah menghasilkan lebih 1,000 lukisan dan pernah mengadakan lima pameran solo terbesar antaranya di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay dan di Dewan Bukit Damansara.

Justeru, keunikan sentuhan dan pendekatannya dalam menghasilkan setiap potret artis dan VVIP pilihannya telah menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim apabila mengundangnya menyertai Ekspresi@Finas menerusi pameran lukisan illustrasi ‘Wajah Dan Madah Syed Wafa’ sempena selama dua hari bermula kelmarin.

“Eksklusif dan uniknya lukisan illustrasi ini bukan sahaja mempamerkan daya kreativiti dan sentuhan seni saya malah ia turut mengabadikan tulisan tangan yang asli para artis berkenaan.

“Artis yang menjadi pilihan saya bukan setakat dari Malaysia malah dari luar negara antaranya Michael Jackson, Justin Bieber, Celine Dion, Mariah Carey, Roger Federar, Mahir Zain, Avril Lavigne, Shah Rukh, Engelbert Humperdinck dan ramai lagi yang sememangnya menjadi pujaan ramai,” katanya.

Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa (dua dari kiri).

Sementara itu, menerusi Ekspresi@Finas, penyertaan ‘Wajah Dan Madah Syed Wafa’ adalah kesinambungan daripada dua perbincangan beliau dengan Md. Nasir dan bahagian penerbitan Buku FINAS baru-baru ini.

Melalui perbincangan itu, pada dasarnya FINAS berminat untuk menerbitkan buku coffeetable bertajuk Wajah dan Madah” tidak lama lagi yang akan diterbitkan sebanyak 100 muka surat.

“Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberi oleh Finas yang mengundang beliau menyertai pameran berkenaan dan buku coffeetable Wajah Dan Madah yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Ia merupakan pertama kali di Malaysia yang menghimpunkan lukisan wajah selebriti terkenal bersama catatan dan tanda tangan mereka sendiri,” katanya.

Selain itu pada acara yang sama, sempena segmen ‘Imbas Kembali & Layar Bintang’ Syed Wafa juga diberi kepercayaan untuk melukis wajah seniman legenda tanah air iaitu Allahyarham Hussein Abu Hassan.

Lukisan itu telah disampaikan oleh Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa kepada keluarga Allahyarham.

Walaupun hanya diberi masa dua hari untuk melukis illustrasi wajah seniman berkenaan, Syed Wafa dapat menunaikan permintaan Pengerusi FINAS dengan baik dan keluarga seniman legenda itu amat gembira dan terharu hasil lukisan Syed Yusof Wafa.

“Saya juga terharu ramai rakan artis yg turut hadir memberi sokongan pada pameran tersebut antaranya Rozita Che Wan, Fikry Ibrahim, Datuk A.Aida, Zuhairi Ibrahim, Farahdhiya, Rozita Rohaizad, Shila Mambo dan ramai lagi,” kata Syed Wafa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast