Gambar hiasan. Foto National Geographic

MUMBAI – Seorang bayi maut selepas diserang seekor harimau bintang di Aarey Colony pada hari Isnin.

Kanak-kanak perempuan berusia 16 bulan, Itika Lot, cedera parah di leher dan kemudian meninggal dunia di hospital.

Kejadian ini berlaku ketika ibu mangsa ke kuil.

“Bayi berkenaan dikatakan telah bergerak keluar rumah lalu diterkam oleh harimau tersebut yang berada di luar.

“Ibu mangsa yang ternampak kejadian itu telah menjerit menyebabkan harimau terkejut lalu menyelinap masuk ke dalam belukar sambil menggigit mangsa,” kata seorang penduduk tempatan.

Katanya lagi, jeritan kuat ibu mangsa menyebabkan penduduk kampung keluar dan melancarkan pencarian.

“Harimau itu berjaya ditemui dan dihalau. Kanak-kanak itu masih bernafas semasa ditemui terbaring di kawasan semak dan dikejarkan ke Hospital Seven Hills, Andheri, namun meninggal dunia semasa rawatan,” tambah penduduk itu lagi.

Ini merupakan kejadian ketiga pada bulan ini, kata G Mallikarjuna, Pengarah dan Ketua Konservator Taman Negara Sanjay Gandhi.

Bulan lalu, seorang kanak-kanak lelaki diserang ketika sedang menunggang motosikal bersama bapanya.

Dalam kejadian lain, tempat duduk sebuah motosikal yang diparkir telah dikoyakkan oleh haiwan tersebut

Pihak berkuasa percaya, harimau bintang yang menyerang bayi tersebut adalah haiwan yang sama melakukan serangan sebelum ini.

Setakat ini 12 perangkap kamera telah dipasang di kawasan itu untuk memantau pergerakan harimau bintang.

Terdapat sekitar 10 harimau bintang di Aarey. Bandar ini merupakan salah satu kawasan yang memiliki kepadatan tertinggi populasi harimau bintang kerana kehadiran taman negara. – TOI