Foto yang ditularkan di media sosial

KUALA LUMPUR – Ribut melanda media sosial berikutan kemunculan Datuk Seri Najib Tun Razak di televisyen tempatan yang disifatkan sebagai fobia terhadap bekas perdana menteri itu.

Menurut pentadbir Facebook Najib, pelbagai fitnah telah dilemparkan kepada Najib hanya kerana beliau muncul di kaca televisyen selama dua minit semalam.

“Najib keluar TV dua minit saja, terus orang PH gelabah. Macam-macam fitnah terkeluar. Fobia betul mereka dengan Najib.

“Siaran semalam ialah dari episod 57 program “Kembara keluarga Malaysia” berkenaan Pekan yang disiarkan pada pukul 4 petang di RTM1.

“Kebetulan masa wajah Najib keluar, RTM1 juga menyiarkan ringkasan berita terkini di bahagian bawah,” katanya.

Kemunculan Najib dalam rancangan tersebut menjadi trending di Twitter dengan pelbagai andaian termasuk bekas perdana menteri itu telah diberikan keistimewaan ditemubual di dalam penjara.

Juga ada yang mendakwa penyiaran wawancara itu sebagai tidak menghormati sistem kehakiman.

“RTM tidak hormat sistem kehakiman. Kerajaan menggunakan kempen keliru Rakyat.

“Penjenayah diangkat sebagai bahan kempen. Tolak UMNO tolak salahguna kuasa tolak politik wang,” kata Muhammad Rafique Rashid Ali yang merupakan peguam kepada parti Pejuang.

Jabatan Penjara telah menjawab isu tersebut hari ini dengan menegaskan bahawa tiada sebarang rakaman video Najib dibuat di dalam premis penjara oleh mana-mana agensi media.

Dalam kenyataan, Jabatan Penjara berkata, hasil semakannya, rakaman video itu dibuat lebih awal oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebelum Najib menjalani hukumannya.

Tambahnya, rakaman terbabit dibuat sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 dan video yang ditayangkan di TV1 semalam menceritakan tentang sejarah, latar belakang Pekan, Pahang, bukan berkaitan politik.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab (menyebarkannya).”

Program Kembara Keluarga Malaysia yang memaparkan temubual itu merupakan episod ke-56 yang menyiarkan laporan mengenai Pekan, Pahang dan disiarkan oleh RTM semalam.

Najib merupakan Ahli Parlimen Pekan ketika program tersebut dirakam.

Terdahulu, tangkap layar klip video Najib yang disiarkan di sebuah saluran televisyen menjadi tular di media sosial, dan beberapa pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana seorang banduan boleh bersiaran di televisyen.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan dalam dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette