KUALA LUMPUR – Pas sekali lagi menyerang Pakatan Harapan (PH) dengan menuduh gabungan parti itu menjadi tempat ‘berkumpul’ golongan pemberi rasuah.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ramai pemberi rasuah berada dalam gabungan parti itu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut beliau, pemimpin PH tidak boleh mendabik dada mereka memperjuangkan agenda antirasuah sedangkan pada masa yang sama parti itu menerima sumbangan daripada golongan yang mengamalkan rasuah.
“Golongan tauke dan pemberi rasuah ini ramai yang berkumpul dalam PH bagi membantu kemenangan PH.
“Bagaimana PH boleh mengatakan kononnya mereka menghantar mesej yang jelas untuk menentang amalan rasuah namun pada masa yang sama, mereka boleh pula menerima sumbangan si pemberi rasuah?” soal Abdul Hadi.
Bagaimanapun penyandang kerusi Parlimen Marang itu tidak memberikan sebarang contoh dan bukti amalan rasuah yang berlaku dalam PH.
Menurut Abdul Hadi, Pas menentang kemungkaran rasuah yang dilaknat bukan hanya kepada penerima rasuah malah parti itu turut menentang tauke atau pemberi rasuah.
Selain rasuah, Abdul Hadi turut menuduh PH membiarkan perbuatan jahat yang lain.
“Tambahan pula, PH seolah-olah melihat hanya semata-mata rasuah itu sahaja sebagai satu bentuk kemungkaran yang perlu dicegah namun sebaliknya membiarkan jenis-jenis kemungkaran yang lain membarah.
“Seperti pemikiran liberalisme, sosialisme, hubungan sejenis dan banyak lagi,” kata Abdul Hadi dalam kenyataan di Facebook.
Beliau juga menyentuh tuduhan rasuah dan salah laku dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN).
Beliau menegaskan ‘kekeruhan’ tersebut perlu diperjelaskan dan dibersihkan terlebih dahulu.
“Ada pun BN pula, dalam kalangan pemimpin tertinggi mereka, masih ada yang belum selesai isu pendakwaan salah laku dan penerimaan rasuah.
“Inilah kekeruhan yang perlu kita jernihkan dan bersihkan terlebih dahulu, baik peringkat atasan mahu pun bawahan,” katanya. – MalaysiaGazette