Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali optimis kerusi itu akan kekal milik Perikatan Nasional (PN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keyakinan itu dilahirkan Azmin apabila melihat kepada semangat parti-parti yang menganggotai PN.

“Gembira dan bersemangat melihat kesatuan parti-parti anggota Pas, Bersatu & Gerakan serta persiapan dan gerak kerja yang telah mula dilaksanakan.

“InshaAllah, Gombak kekal untuk Perikatan Nasional!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kerusi Parlimen Gombak menjadi antara kerusi hangat semasa PRU15 pada 19 November depan.

Ini kerana Pakatan Harapan (PH) berikrar untuk merampas kembali kerusi yang ‘dilarikan’ Azmin selepas Langkah Sheraton pada 2020 lalu.

Pada PRU14, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak mewakili PKR dengan meraih 75,113 undi, menewaskan calon UMNO yang memperoleh 26,392 undi, manakala Pas sebanyak 17,537 undi.

Pada 2018, Gombak mempunyai sebanyak 141,112 pengundi berdaftar dengan 85.4 peratus atau 120,548 pengundi keluar mengundi.

Daripada aspek demografi, 75.8 peratus daripada pengundi berdaftar terdiri daripada Melayu, manakala India merekodkan 10.77 peratus dan Cina 10.67 peratus.

Desas-desus menyatakan Azmin akan ditentang oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa pada PRU15. – MalaysiaGazette