ISKANDAR PUTERI – Susulan insiden pertengkaran nelayan tempatan bersama pihak berkuasa Singapura dalam kejadian petang di perairan Selat Johor perlu ditangani oleh kedua-dua kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad memberitahu, pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Wisma Putra dan Konsulat Singapura esok bagi memaklumkan secara terperinci insiden dihadapi kumpulan 10 nelayan yang mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura di perairan negara petang kelmarin.
Pandak berkata, surat bantahan bertujuan memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri terhadap provokasi yang terpaksa ditanggung kira-kira 400 nelayan Johor Selatan daripada pihak berkuasa negara jiran berkenaan.
Selain itu, rundingan membolehkan kerjasama dua hala antara kedua dua negara dapat dilakukan bagi menyelesaikan isu yang sekian lama ditanggung nelayan tempatan.
Pihaknya juga telah memaklumkan masalah berkenaan kepada kerajaan negeri ekoran bimbang ia boleh menjejaskan hubungan kedua-dua negara sekiranya tidak diberi perhatian.
“Penguatkuasaan rondaan (Malaysia) diakui kurang, jadi kita harap bukanlah kita harapkan 24 jam, sekurangnya ronda waktu siang.
“Kena faham nelayan cari makan terutamanya waktu siang. Malam kuranglah sikit. Isu provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap nelayan di Johor Selatan bukan perkara baharu kerana sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.
“Namun insiden kelmarin adalah kemuncak apa yang dipendam selama ini dan paling melukakan hati nelayan kerana dilemparkan kata-kata kesat yang menjatuhkan maruah serta tidak sepatutnya dituturkan,” katanya pada sidang media yang dihadiri kira-kira 30 nelayan Johor Selatan di Pendas hari ini.
Semalam, dilaporkan sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba berhampiran Jambatan Link Kedua petang kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa negara jiran itu menggunakan kata-kata kesat walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia dilaporkan sedang melakukan siasatan terhadap insiden membabitkan kumpulan nelayan Malaysia dan Coast Guard Singapura yang berlaku di perairan Malaysia berhampiran sempadan Singapura.
Pandak turut berpandangan, kerajaan diharap dapat melakukan pemetaan semula membabitkan sempadan perairan negara dan Singapura.
Katanya, ini kerana perairan negara seolah-olah sudah dicabuli apabila pihak lain mengakui ia sebagai kawasan perairan mereka. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis siasat insiden nelayan bertengkar dengan Coast Guard Singapura