Lebih 20 laporan polis dibuat oleh Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang dan NGO terhadap Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di IPD Kuantan hari ini.

KUANTAN – Lebih 20 laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan oleh Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang bersama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Tengku Zulpuri Shah Raja Puji hari ini.

Kesemua laporan berkenaan dibuat ekoran kenyataan penyandang Parlimen Raub yang dipetik dalam ceramah Jelajah Pakatan Harapan (PH) Pahang di Mentakab pada 20 Oktober lalu yang didakwa mengheret nama Istana Pahang ke kancah politik.

Menurut Bendahari Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang, YHM Dato Setia Penggawa YM Tengku Dato Abdul Manan Bin Tengku Temenggung Aziz, kenyataan Zulpuri disifatkan biadap.

“Yang pertamanya, Tengku Zulpuri telah berlaku biadap dengan menyebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong adalah orang Pahang dan penyamun juga orang Pahang,” katanya.

Tengku Datuk Abdul Manan Tengku Temenggung Aziz

Kenyataan pemimpin dari DAP itu katanya, jelas mengaitkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDMM) Tuanku Yang Dipertuan Agong juga sebagai penyamun.

“Yang keduanya, dalam ucapannya juga menyebut, Orang Besar Berempat adalah penyamun. Seolah-olah semua Orang Besar Berempat adalah penyamun,” tambah Abdul Manan.

Tindakan Zulpuri mengaitkan nama “Tengku” yang merupakan keturunan sultan adalah perompak selain ucapannya “penyangak atau pencuri besar adalah orang Pahang” juga dikecam Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang.

“Kenyataan beliau ini disifatkan jelas sebagai satu penghinaan melampau kepada KDMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong, Orang-Orang Besar Pahang, Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang dan rakyat Pahang sendiri dengan motif bagi menimbulkan kebencian terhadap Istana Pahang dan Institusi Raja,” ulasnya.

Justeru, kumpulan itu menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap Zulpuri bagi memberi pengajaran bahawa terdapat had dan batas dalam berpolitik di negara ini.

Bendahari Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Diraja Negeri Pahang, YHM Dato Setia Penggawa YM Tengku Dato Abdul Manan Bin Tengku Temenggung Aziz bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap penyandang kerusi Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di IPD Kuantan hari ini

Sementara itu, Abdul Manan turut mengingatkan pengamal politik supaya tidak mengaitkan nama istana dan raja Melayu dalam kancah politik.

“Kita berpegang kepada prinsip Rukun Negara. Kesetiaan kepada raja dan negara. Kena faham. Nak cakap biar berlapik,” katanya.

MalaysiaGazette masih cuba menghubungi Zulpuri untuk mendapatkan maklum balas namun pemimpin DAP itu dimaklumkan beliau sedang sibuk bermesyuarat di ibu negara.-MalaysiaGazette