Keadaan motosikal Honda Dash yang dilanggar dari arah bertentangan dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Pulau Carey, semalam.

KUALA LANGAT – Seorang lelaki maut manakala rakan sekampungnya parah apabila motosikal dinaiki dilanggar motosikal lain di Jalan Pulau Carey, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam, mangsa berusia 46 tahun yang merupakan penunggang motosikal jenis Honda Dash meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Sementara itu, pemboncengnya berusia 47 tahun cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kemalangan berlaku ketika kedua-dua rakan sekampung tersebut dalam perjalanan ke Banting dari Pulau Carey.

Keadaan motosikal Yamaha Lagenda akibat kemalangan di Jalan Pulau Carey, semalam.

Katanya, sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki dua lelaki berusia 23 tahun dari arah berbeza telah memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan Honda Dash tersebut.

“Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal Honda Dash disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng mengalami cedera parah.

“Dua lelaki yang menaiki motosikal Yamaha Lagenda masing-masing cedera di bahagian muka dan kaki.

Beliau berkata, kesemua mangsa kemalangan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Banting untuk menerima rawatan.

“Mayat penunggang motosikal Honda Dash dibawa ke Bilik Mayat Hospital Banting untuk dibedah siasat,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette