Johan Qari dari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed (kiri) dan Johan Qariah dari Malaysia, Sofizah Mousin (kanan) bergambar bersama trofi pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR — Peserta dari Malaysia, Sofizah Mousin muncul sebagai juara qariah manakala johan qari dimenangi peserta Bahrain, Mohamed Sameer Magahed pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 tahun 2022 hari ini.

Sofizah menjuarai dengan markah 89.66 peratus dan Mohamed Sameer dengan markah 93.33 peratus bagi kategori masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenan menyampaikan hadiah kepada Qari dari Bahrain Mohamed Sameer Mohamed Magahed yang dinobatkan sebagai Johan Tilawah Kategori Lelaki pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2022.

Kedua-dua mereka membawa pulang piala dan sijil penghargaan serta wang tunai dari Kerajaan Malaysia.

Sofizah, 33, berkata, beliau menjadikan kemenangan untuk meneruskan dakwah melalui al-Quran dan akan terus berguru serta bertalaqi menambahkan ilmu.

“Untuk peringkat antarabangsa, cabarannya lebih besar sebab di peringkat yang lebih tinggi, saya buat yang terbaik dan alhamdulillah rezeki berpihak pada saya.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan hadiah kepada Qariah dari Malaysia Sofizah Mousin yang dinobatkan sebagai Johan Tilawah Kategori Wanita pada Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 24 OKTOBER 2022.

“Selepas sahaja pertandingan (tilawah) peringkat kebangsaan di Johor, saya ada mengalami masalah kesihatan tapi alhamdulillah beberapa hari sebelum peringkat antarabangsa saya sembuh sepenuhnya” katanya dalam sidang media.

Berbekalkan semangat dan pantang berputus asa walaupun sakit beliau tetap berguru secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.

Katanya, untuk saham akhirat, hadiah kemenangan akan disimpan dan mungkin digunakan untuk membuka pusat al-Quran.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan yang merangkul naib juara qari dan naib juara qariah milik peserta Singapura, Widadul Wahidah Mahamod dengan markah 87.50 peratus.

Penyampaian hadiah disempurnakan Yang Di-pertuan Agong, Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat Tuanku Permaisuri, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

MTHQA ke-62 yang bermula pada 19 Oktober lalu berlangsung selama enam hari hingga hari ini di Dewan Pleno, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Berbeza berbanding MHTQA terdahulu, kali ini ia hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah al-Quran sahaja.

Seramai 36 orang peserta melibatkan 28 buah negara berjaya melepasi sesi saringan pada 1 hingga 7 Julai lalu.

Penjurian pula dibuat seramai 16 orang hakim-hakim dalam kalangan ahli al-Quran dari dalam dan luar negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast