MELAKA – Padah menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI), empat tahun lalu seorang pemandu teksi dan buruh didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, pemandu teksi Nazar Sukkur, 52, dan Khairul Nasir, 40, yang membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah membenarkan tujuh PATI berada di dalam kereta jenis teksi jenis Toyota Innova sekitar jam 11.30 malam di pesisiran pantai Jalan Pokok Asam, Melaka Tengah pada 10 Disember 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan sehingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan atas maklumat selepas disyaki terlibat dengan aktiviti haram menghantar pulang PATI warga Indonesia dan Bangladesh.

Kegiatan itu telah dijalankan menggunakan teksi milik Nazar dan sebuah Proton Wira milik bapa Khairul.

Terdahulu, Nazar yang diwakili Peguam Datuk Baljit Singh dan Khairul diwakili Zulfikri Zakaria merayu hukuman mereka diringankan dengan alasan telah insaf dan mempunyai tanggungan keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM35,000 kepada setiap tertuduh atau penjara tujuh bulan jika gagal bayar.