Ling Tian Soon (lima kanan) menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada Pengerusi Kolej Universiti Selatan, Datuk Vincent Tan di universiti berkenaan, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Pemuda MCA Johor menaruh harapan untuk menjadi calon sekurang-kurangnya di dua daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, dua kerusi yang diharapkan itu adalah Parlimen Kulai dan Tebrau.

“Kenapa kita sasarkan dua kerusi ini…kerana saya penuh keyakinan kita mempunyai rekod perkhidmatan MCA yang baik dan kami telah menang di sana pada masa lalu.

“Pengundi muda di kawasan itu juga sudah pasti ramai dan sebagai ketua Pemuda MCA negeri, saya sudah pastinya akan memastikan jentera kita membantu calon untuk berjuang secara adil dan saksama untuk merampas kembali kerusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kerajaan negeri bernilai RM500,000 kepada Kolej Universiti Selatan, di sini hari ini.

Tian Soon yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor turut memberitahu, MCA sentiasa menyokong calon muda seperti yang disenaraikan dan dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Katanya, pada PRN Johor Mac lalu, lapan daripada keseluruhan 15 calon MCA merupakan muka baharu dan muda sekali gus membuktikan MCA sentiasa menyokong golongan tersebut.

Daripada lapan calon pemuda MCA, saya dan Lee Ting Han masing-masing menang di Paloh dan Yong Peng manakala dua lagi calon pemuda di Tangkak dan Jementah tewas dengan majoriti tipis masing-masing 714 dan 372.

“Pemuda MCA Johor mempunyai ramai bakat yang berpotensi baik dan kami mengalu-alukan sepenuhnya keputusan parti untuk meletakkan calon daripada sayap ini pada PRU 15,” katanya.

PRU lalu, kerusi Parlimen Kulai dimenangi calon DAP, Teo Nie Ching.

Manakala, Parlimen Tebrau dimenangi Steven Choong Shiau Yoon yang merupakan calon PKR.- MalaysiaGazetten, Datuk Vincent Tan di universiti berkenaan, di sini hari ini.