ACP Beh Eng Lai.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan polis pada Ahad lalu kerana disyaki memukul lelaki warga tempatan di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 17 Oktober lepas, sehingga tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati, dalam kejadian jam 11 pagi, suspek yang berusia 31 tahun itu mengaku telah memukul dan menendang mangsa secara bertubi-tubi bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

“Ia kerana mangsa telah melanggar seorang kanak-kanak yang merupakan anak jiran teman wanitanya.

“Suspek turut mengaku telah merampas kunci kereta mangsa dan membuang kunci itu di kaki lima Pasar Borong,” katanya dalam kenyataan sambil menambah suspek ditahan di Pusat Bandar Utara, di sini.

Tangkap layar rakaman video tular berdurasi 22 saat memaparkan dua lelaki memukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 17 Oktober.

Tangkapan ke atas suspek membawa kepada rampasan serangkai anak kunci kereta serta alat kawalan jauh milik mangsa dan sehelai seluar jeans hitam yang digunakan suspek sewaktu kejadian.

Tambah Eng Lai, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan reman selama lapan hari sehingga 28 Oktober.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 22 saat memaparkan dua lelaki memukul seorang pemandu kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas mangsa dikatakan terlanggar seorang kanak-kanak yang sedang berjalan bersama ibunya di pasar berkenaan.

Eng Lai berkata, pihaknya kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325/ 329 Kanun Keseksaan, ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222. – MalaysiaGazette