Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima peranti siswa ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

BATU PAHAT – Sebanyak 291,096 permohonan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia telah diluluskan iaitu lebih 61 peratus daripada jumlah permohonan sehingga 20 Oktober lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, selepas permohonan Fasa 2 ditutup pada 30 September lalu, sebanyak 474,311 permohonan diterima di seluruh negara.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan pengagihan peranti yang lulus itu akan disempurnakan dalam tempoh dua bulan secara berperingkat.

“Kita telah pun melaksanakan pengagihan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengikut zon sebelum ini seperti di Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Sultan Zainal Abidin (Kampus Besut), Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

“Pada hari ini juga, seramai 50 orang pelajar IPT di Zon Selatan mewakili pelajar dari Universiti Awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan IPT Swasta di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan menerima PerantiSiswa.

“Kaunter tuntutan turut dibuka di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) untuk membolehkan pelajar yang lulus permohonan mendapatkan peranti mereka,” katanya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berucap ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) DanPenyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di UTHMdi sini hari ini.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan pemberian peranti di bawah Program Peranti Siswa kepada mahasiswa UA dan IPTS.

Setiap penerima mendapat model terkini tablet Samsung Galaxy Tab A8 LTE yang dilengkapi dengan pelindung, papan kekunci dan ‘stylus pen’.

Mengulas lanjut, Noraini turut menasihati penerima PerantiSiswa itu manfaatkan peranti percuma tersebut untuk memudahkan pengajian mereka.

“Ini ialah amanah yang anda harus jaga dan jangan menyalahgunakan kemudahan yang diberikan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiga pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Martina Muhammad Elyas Lim (tengah), bersama Khairul Fitri Hakim Mohd Zulkifli (dua kanan), dan Muhammd Khairil (dua kiri) menunjukkan peranti tablet selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.