Suspek, Mohd Zaidi Mohd Zain dan Tengku Hazarol Ismail Tengku Hamid diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menculik warga Palestin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit hujung bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Zaidi Mohd. Zain, 54 dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, diiringi anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) ke mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M. Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang pukul 10.40 malam pada 28 September lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin.

Tiada jaminan dibenarkan kerana kesalahan itu dikategorikan dilarang jamin dan mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Pada 14 Oktober lalu, media melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama.

Sebelum itu, pada 5 Oktober lalu, media melaporkan seramai 18 individu terdiri lelaki dan wanita warga tempatan termasuk warga Indonesia diberkas selepas terlibat dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin dengan menaiki kenderaan pelbagai guna dalam kejadian pada 28 September lalu.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 29 September. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

11 individu dituduh culik lelaki Palestin