penyakit
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Rakyat dinasihatkan agar jangan ‘cari penyakit’ dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) atau serpihannya, Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Puteri Barisan Nasional (BN), Datuk Zahida Zarik Khan berkata, PH tidak mempunyai hala tuju selepas memenangi PRU-14 dan gagal menguruskan aset-aset negara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau memberi contoh, media pernah melaporkan, Khazanah Nasional Berhad telah menjual kepentingan dalam tujuh firma asing termasuk Alibaba Group Holding Ltd bernilai kira-kira RM5.66 bilion (AS$ 1.36 bilion) dalam tempoh 16 bulan pertama PH menjadi kerajaan.

“Hanya dalam tempoh setahun 4 bulan PH di Putrajaya, mereka sudah berjaya menjual aset bernilai berbilion ringgit.

“Bab ni saya akui, PH ‘berjaya’, berjaya menambah pendapatan kerajaan dengan siri penjualan aset,” katanya secara sinis dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Zahida yang Ketua Pergerakan Puteri UMNO menambah, PH hanya tahu menjual segala harta rakyat yang dikumpul oleh pentadbiran BN dahulu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat bahawa PRU-15 bukan masa untuk bereksperimen dan semua parti telah diberi peluang menjadi kerajaan.

“Akhirnya BN terbukti jauh lebih baik daripada mereka,” jelasnya. – MalaysiaGazette