KOTA TINGGI – UMNO Bahagian Ayer Hitam akan memberi sokongan penuh kepada Datuk Seri Wee Ka Siong yang dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.
“Ye betul, Wee Ka Siong akan terus berada di Ayer Hitam sebab kerana dia pun selesa di sini dan Ayer Hitam terima dia. Lagipun dia sudah berkhidmat empat penggal dengan cemerlang,” kata ketuanya, Datuk Samsolbari Jamali.
Menurutnya, BN akan berusaha bermati-matian memenangkan calon-calonnya termasuk Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam walaupun membayangkan akan berdepan dengan cabaran sengit.
Tegas beliau, Ayer Hitam adalah contoh semangat Barisan Nasional kerana memiliki komposisi 58 peratus pengundi Melayu, 35 peratus pengundi Cina dan tujuh peratus India.
Pengundi-pengundi di sini sudah tentu mahukan parti yang boleh menawarkan kestabilan untuk negara.
“Oleh sebab itu, kita akan berusaha membantu calon kita sehabis baik untuk kemenangan parti ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kapal pukat tunda besi pertama yang dikeluarkan syarikat tempatan di perairan Tanjung Buai, di sini, hari ini.
PRU14 lalu, Ka Siong berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti tipis 303 undi, menewaskan pencabarnya Liew Chin Tong, yang juga Pengerusi DAP Johor.
Samsolbari yang juga Setiausaha UMNO Johor berkata, ada ura-ura yang menyatakan Pakatan Harapan (PH) akan meletakkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat (CEC) untuk berlawan dengan Ka Siong.
”Dia (Sheikh Umar ) mahu tunjukkan dia giant killer tapi dia adalah calon yang dikalahkan di Paloh dan mahu cuba nasib di Ayer Hitam.
”Jadi semoga berjaya,” katanya.
Samsolbari berkata, Parlimen Ayer Hitam menyaksikan pertambahan 21,000 pengundi baharu termasuk golongan muda yang sudah tentu menjadi cabaran besar bukan sahaja kepada BN malah kepada semua parti.- MalaysiaGazette