Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang sepatutnya mempersoalkan tentang kes rasuah tanah dan banglo melibatkan anaknya, Lim Guan Eng sekiranya veteran DAP itu jujur melawan rasuah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kes rasuah bekas Setiausaha Agung DAP itu tiba-tiba digugurkan selepas beberapa bulan Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan setelah mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi telah pun dipanggil,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Kit Siang dalam satu kenyataan meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi respons yang berpatutan dan positif kepada permohonan pengasas bersama Gerak Independent, Tawfik Ismail untuk bertanding di bawah tiket PH di kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Beliau turut menyatakan bahawa PRU15 adalah untuk melawan rasuah dan membina Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 penubuhannya.

Ahmad Zahid seterusnya memberitahu, tindakan lawan BN memperkuatkan ‘serangan’ ke atas Pengerusi BN menjelang PRU15 bukan sesuatu yang luar biasa.

Sebaliknya, menurut beliau, ia adalah luar biasa jika mereka tidak lagi ‘menyerang’ Pengerusi BN dengan pelbagai dakyah sebelum PRU15.

“Lebih-lebih lagi Pengerusi BN juga Presiden UMNO yang tidak mengalah kepada tekanan dan kezaliman mereka,” jelasnya.

Presiden UMNO itu berkata, sebab itu Kit Siang amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang beliau dan risau mengenai soal calon PH di kerusi tersebut.

Ahmad Zahid menambah, Kit Siang meminta PH merestui individu yang pernah menyarankan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan supaya menjadi calon.

“Alasan Kit Siang konon mahu lawan rasuah tetapi itu alasan yang sangat-sangat tidak jujur oleh beliau. Beliau sendiri tahu Presiden UMNO dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, pertuduhan dikenakan terhadapnya sejurus selepas PH menang PRU14 dan Tan Sri Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara.

“Jika saya mengulas secara terperinci dan terbuka mengenainya di sini boleh mengundang implikasi perundangan. Namun, syukur alhamdulillah Mahkamah Tinggi Shah Alam telah pun melepaskan malah membebaskan saya daripada pertuduhan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menempelak pemimpin-pemimpin PH termasuk Kit Siang yang berdiam diri setelah laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat buku Tommy didedahkan kepada umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast