Wan Mohd Zahari Wan Busu (tengah) membuat lawatan di Pameran dan Ujian Aset Menyelamat Agensi-agensi di bawah oleh Jawatankuasa Kecil Pemindahan dan Penyelamat Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Sebanyak lapan zon menyelamat disediakan sebagai persiapan menghadapi banjir di 53 kawasan panas di daerah ini telah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Kecil Pemindahan dan Penyelamat Daerah Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kelapan-lapan zon itu membabitkan kawasan pusat bandar Kuantan, Jalan Kuantan-Gambang, Panching, Sungai Lembing, Kuantan Bypass, Beserah, Gebeng dan Ubai.

Menurutnya, seramai 1,110 pegawai dan anggota terlibat dalam tugasan aktiviti menyelamat  terdiri daripada semua agensi yang terbabit telah bersiap sedia bagi penugasan ketika Monsun Timur Laut (MTL).

ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu

“Tujuan pemeriksaan dan ujian aset bagi memastikan setiap aset di bawah jawatankuasa ini dapat digunakan jika berlaku banjir pada pertengahan November 2023 ini.

“Kita telah mengambil langkah  atur gerak jawatankuasa dan mengenal pasti kawasan ‘hot spot’ yang sering berlaku banjir dan pembahagian lapan zon telah dibuat mengikut sektor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengadakan lawatan ke Pameran dan Ujian Aset Menyelamat Agensi-agensi di bawah oleh Jawatankuasa Kecil Pemindahan dan Penyelamat Daerah Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Antara agensi yang terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan PGA, Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Angakatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta lain-lain agensi.

ARTIKEL BERKAITAN:

ATM bersedia mendepani banjir – Hishammuddin

Jelasnya pemeriksaan dilakukan bagi memastikan semua aset dalam keadaan baik dan bersedia bila-bila masa membabitkan 41 buah bot, 31 buah kenderaan pikap, 25 buah lori dan lain-lain kenderaan.

Justeru pihaknya berharap semua penunduk yang berada di kawasan rendah mengambil langkah waspada dan sentiasa mengambil tahu perkembangan cuaca semasa. – MalaysiaGazette