Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima 10 buah Universiti Awam seluruh Malaysia pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.
BATU PAHAT – Pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) akan diperluaskan kepada semua 20 Universiti Awam (UA) di seluruh negara pada tahun depan dengan sasaran jumlah 200 pelajar.
 Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sedang mengusahakan untuk mendapat  peruntukan daripada kerajaan dan pendanaan daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program itu.
Menurut beliau, pihaknya juga akan membantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan siswa SULUNG melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik tamat pengajian nanti.
“Ia berhasrat supaya para graduan SULUNG ini nanti dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga mereka kepada yang lebih baik.
 “Kepada pelajar yang terpilih sebagai siswa SULUNG bagi kohort pertama ini, saya ucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalani kehidupan sebagai mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program SULUNG Dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Program SULUNG merupakan lontaran cadangan oleh Noraini untuk melaksanakan secara rintis di mana pelaksanaannya menanda aras beberapa contoh program yang hampir serupa di negara luar seperti program “First in Family” di United Kingdom dan Australia, dan “First-Generation College Student” di Amerika Syarikat (AS).
Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40, yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas untuk menyambung pengajian mereka terutama pelajar B40 yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berucap ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.
Mengulas lanjut, Noraini menambah, pengambilan pertama Program SULUNG atau Kohort 1 tahun 2022 baru sahaja bermula Oktober ini di mana terdapat lapan UA perintis yang terlibat.
UA tersebut Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Perlis.
Beliau berkata, seramai 76 orang pelajar daripada 115,477 permohonan kemasukan ke Insituti Pengajian Tinggi Awam melalui UPUOnline telah terpilih ditawarkan sebagai siswa SULUNG.
 “Uniknya, siswa SULUNG yang terpilih menyertai program ini bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke UA tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti elaun sara hidup dan bantuan komputer riba.
“Di samping itu, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk siswa SULUNG selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian,” katanya.
 Noraini turut memberitahu beliau sendiri telah berkesempatan untuk turun padang ke beberapa rumah siswa SULUNG di Johor dan Melaka bagi menyampaikan surat tawaran.
Ujar beliau, terdapat juga sebelum ini Pengurusan Tertinggi KPT yang turun menyantuni beberapa calon di Kedah, Kelantan dan Sabah.
“Namun atas keterbatasan waktu, kita tidak dapat turun ke semua lokasi. “Oleh itu, majlis pada hari ini diadakan khusus untuk menyampaikan surat tawaran kepada baki siswa SULUNG yang belum menerimanya,” katanya. – MalaysiaGazette