Datuk Yahya Sulaiman menyaksikan pemberian anugerah oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada penerima di Majlis Makan Malam Sambutan Jublis Emas Hari Ulang Tahun ke 50 Rela di Putrajaya, malam tadi.

PUTRAJAYA – Pandangan terhadap Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) hanya untuk golongan veteran kini sudah lapuk.

In kerana agensi itu sudah lama diterima ramai oleh golongan muda dengan wujudnya pelbagai aktiviti sukarelawan dan kemasyarakatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman berkata, berdasarkan statistik terkini penglibatan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah menjadi anggota RELA kini sudah mencapai sebanyak 53 peratus.

Jumlah itu jelas menunjukkan RELA disambut baik dan tidak lagi hanya dikenali sebagai petugas menjaga majlis perkahwinan sebaliknya turut terlibat dalam membantu menjaga ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“RELA telah banyak berevolusi daripada sebuah Pasukan Home Guard kemudian dikenali sebagai petugas menjaga majlis kenduri kahwin dan akhirnya sekarang apabila berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), RELA boleh memainkan peranan lebih besar.

“Antaranya membantu menjaga premis bangunan kerajaan, bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia menjaga sempadan, membantu hal kemasyarakatan apabila berdepan musibah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pemberian anugerah kepada penerima di Majlis Makan Malam Sambutan Jublis Emas Hari Ulang Tahun ke 50 RELA di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang melancarkan pengeluaran dua versi duit syiling iaitu duit syiling emas nordic dan duit syiling emas perak streling sempena peringatan 50 Tahun Rela dengan kerjasam Bank Negara Malaysia (BNM).

Tambah Yahya, penghargaan yang julung kali diberikan kepada anggota RELA sebagai menghargai jasa mereka setelah berkhidmat dalam badan anggota itu secara sukarelawan tidak kira dalam apa jua keadaan.

Dalam pada itu, beliau berharap penglibatan anak muda sebagai anggota RELA semakin bertambah agar menyemai semangat perpaduan untuk saling bantu-membantu kepada masyarakat yang memerlukan.

Mohd Sarif Hassan penerima anuegrah Jubli Emas Hari Ulang Tahun ke 50 Jabatan Sukrarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, salah seorang penerima anugerah RELA yang telah berkhimat selama 35 tahun rasa sebak dan berterima kasih dengan pemberian yang diberikannya itu.

Menurut Mohd Sarif Hassan, 75, berkata, walaupun sudah digelar warga emas namun usia bukan penghalang untuk dia terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

“Perasaan saya gembira kerana saya sudah bertugas dan saya berasa bangga sebab saya berjaya berkhidmat daripada tahun 1987 hingga sekarang, ini jelas menunjukkan orang masih nak saya beri jasa pada mereka.

“Kalau ditanya pengalaman macam biasa anggota RELA ini selalu dimaki, dimarah tapi kita terima sahajalah sebab kena ingat kita berkhidmat untuk RELA sahaja.

“Dalam tempoh 35 tahun ini, banyak juga pengalaman saya dah buat antaranya menyelamatkan orang sebab hilang, orang lemaslah, semua itu saya sudah lalui. Kalau tengok saya menangis ini sebab saya terkenangkan masa dulu saya bertugas,” ujarnya beremosi.

Mohd Sarif memilih untuk menjadi anggota RELA kerana mahu turut sama seperti adik-beradik yang lain menjadi tentera dengan memberikan khidmat serta bakti pada negara.

Biar pun sudah diusia emas namun semangat di dalam dirinya masih utuh dan Mohd Sarif turut menasihati kepada anggota RELA golongan muda agar terus setia memberikan perkhidmatan sebaik mungkin kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.

Aswadi Sidek penerima anuegrah Jubli Emas Hari Ulang Tahun ke 50 Jabatan Sukrarelawan Malaysia (RELA).

Bagi penerima anugerah kedua, Aswadi Sidek, 41, dia tidak gentar untuk meredah lautan api demi menyelamatkan nyawa seorang warga emas yang terbabit dalam kebakaran pada tahun lalu.

Katanya, walaupuan kejadian itu meninggalkan kesan parut melecur di badannya namun dia berasa bangga kerana berjaya memberikan bantuan kepada mangsa pada ketika itu.

“Sewaktu kejadian, saya melalui ternampak ada rumah terbakar di Kampung Losong Haji Su dan ada sepasang suami isteri yang juga warga emas di dalam rumah itu.

“Saya segera masuk dalam rumah itu dan menyelamatkan suami mangsa daripada melecur teruk tetapi isterinya tidak sempat sebab api sangat marak dan tiada orang yang datang membantu mereka. Waktu itu memang tidak sangka tuhan gerak hati hadir membantu.

“Alhamdulilah pak cik itu selamat dan sempat jumpa ahli keluarganya selepas tiga hari dia meninggal dunia sebab alami kecederaan yang serius. Kesan parut masih ada di bahu saya ini tapi tidak apa, sebagai anggota RELA saya sedia berikan khidmat pada mereka.

“Walaupun baru lima tahun dalam RELA, alhamdulilah dengan anugerah yang diterima ini saya jadikan sebagai satu kebanggaan dan contoh buat anak muda untuk turut sama terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast