PUTRAJAYA – Seramai 49 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk wanita yang datang untuk bekerja di negara ini ditahan dalam Ops Gelombang di beberapa lokasi di Kelantan.
Mereka yang ditahan itu termasuk 32 orang lelaki, 16 orang perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan Myanmar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka dipercayai baru tiba dari negara jiran melalui jalan tikus dan kemudian dipindahkan dengan 10 buah kenderaan ke Terminal Bas Utama Kota Bharu dan Pasir Mas.
Operasi melibatkan 32 orang pegawai imigresen itu turut menyerbu terminal pas berkenaan dan menahan lapan orang lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 37 tahun yang bertindak sebagai transporter.
Menurutnya, operasi dibuat berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu.
Modus operandi sindiket ini dengan menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand.
“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM 7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia. Kesemua PATI ini kemudian akan di bawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah.
“Bagi PATI wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” kata Khairul dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, setiap transporter tempatan pula menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas awam sebelum menaiki kenderaan awam yang ditetapkan.
Dalam operasi itu, terdapat transporter dan PATI yang cuba melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar namun tindakan mereka ternyata sia-sia kerana kawasan berkenaan telah dikepung ketat oleh penguatkuasa.
Menurut Khairul, sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan kedua-dua belah negara dibuka semula dan mensasarkan PATI dari Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini,” ujarnya.
Berdasarkan anggaran seramai 160 PATI sebulan yang dibawa masuk oleh sindiket ini, kerajaan mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.
Kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala lapan orang lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan sementara kesemua 10 buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM200,000 yang digunakan sindiket untuk mengambil PATI akan disita. – MalaysiaGazette