Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Jumlah demam denggi meningkat 9.3 peratus bagi tempoh 16 hingga 22 Oktober lalu, sekali gus menjadikan jumlah kes sebanyak 1,614.

Menurut Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan berkenaan menjadikan kumulatif kes demam denggi terkini adalah 48,109 kes berbanding 21,308 kes bagi tempoh sama tahun 2021.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 26,801 kes (125.8 peratus).

Manakala sebanyak 29 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021, naik 13 kematian (81.3 peratus), katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, sebanyak 51 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 53 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 30 lokaliti hotspot di negeri Selangor, 11 (Sabah), lapan (Kuala Lumpur dan Putrajaya dan masing-masing satu di Kedah serta Melaka.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kes chikungunya merekodkan sebanyak tujuh kes pada minggu yang sama dengan tiga kes di Pulau Pinang, dua kes dari WPKL dan Putrajaya dan masing-masing satu kes dari Selangor serta Melaka.

“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 669 kes manakala bagi virus zika, sebanyak 1,619 sampel darah dan 16 sampel urin telah dijalankan dan kesemuanya  negatif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette