Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad mengesahkan beliau tidak bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Meskipun begitu, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau akan tetap mengetuai jentara pilihan raya BN.

Keputusan untuk tidak bertanding itu kerana beliau sedang mempertahankan integriti dan nama baiknya di mahkamah.

Beliau kini sedang menghadapi tuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan pertuduhan itu kerana tidak mengisytiharkan penerimaan duit sebagai pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

”Tidak adil bagi saya meminta pengundi JB untuk membersihkan saya. Saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah. Itu sebabnya,” ujar beliau.

Shahrir yang juga bekas Pengerusi Felda, didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette