P. Waytha Moorthy.-foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Umpama menunggu buah yang jatuh untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), menyebabkan Parti Kemajuan Malaysia (MAP) yang diterajui oleh P Waytha Moorthy kini memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Waytha, dia dan rakan-rakannya dari Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berkempen untuk membantu PH menang pada 2018.

Namun, sehingga kini permohonan MAP untuk bekerjasama dengan PH masih belum mendapat sebarang reaksi walaupun selepas dua tahun menunggu.

”Selepas MAP ditubuhkan, malah selepas pentadbiran PH digulingkan, kami (MAP) memohon untuk dimasukkan ke dalam gabungan itu, untuk menyumbang sumbangan kami kepada masyarakat India.

”Tetapi dua tahun kemudian, walaupun berulang kali kemas kini dan (membuat) panggilan telefon, kami masih belum mendapat jawapan,” katanya dalam video yang disiarkan di Facebooknya, malam tadi.

Waytha mendakwa, MAP telah membawa isu tersebut kepada perhatian Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Bagaimanapun Saifuddin hanya memberi jaminan bahawa perkara itu akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi PH.

“Setiap kali saya menghantar mesej kepadanya berhubung perkara ini, yang saya dapat hanyalah tanda biru (di WhatsApp), tetapi mesej Hari Raya saya sentiasa mendapat balasan.

“Daripada ini, saya mendapat mesej bahawa PH tidak mahu kita,” katanya.

Waytha mendakwa alasan di sebalik penolakan itu ialah Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang MAP sebagai parti berasaskan kaum, yang tidak diperlukan dalam gabungan itu.

Hubungan Waytha dengan BN mula mendapat perhatian selepas Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke rumah Wayta sempena perayaan Deepavali baru-baru ini.

“Kami fikir PH adalah kawan kami dan mereka akan memberi kami peluang (untuk memperjuangkan perjuangan kaum India). Saya juga telah membuktikan diri saya (semasa dalam Kabinet PH)

“Pada saya sekarang, nama PH atau BN tidak penting lagi. Saya cuma mahu hak masyarakat saya dijaga,” kata beliau.

Waytha merupakan salah seorang menteri yang sering dikaitkan dengan kontroversi ketika era pemerintahan PH selama 22 bulan. – MalaysiaGazette