Gambar hiasan.

KUALA NERANG – Lapan sekeluarga berdepan detik cemas selepas terperangkap di sebuah chalet di Jalan Puncak Janing di sini, semalam selepas kawasan itu dilanda banjir kilat.

Kesemua mereka dilaporkan terperangkap di penginapan tersebut hampir hampir lima jam sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba kira-kira jam 10 malam tadi.

Difahamkan, hujan lebat bermula jam 5.30 petang menyebabkan jalan di kawasan tersebut ditenggelami air sekali gus mengakibatkan lapan sekeluarga itu tidak dapat keluar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 malam sebelum sepasukan bomba dari BBP Kuala Nerang dikerahkan ke lokasi.

“Kita dapati kawasan berkenaan ditenggelami air satu meter akibat banjir kilat.

“Mereka yang terperangkap terdiri daripada dua lelaki dewasa serta wanita dewasa manakala empat lagi kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap itu, kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat sebelum dipindahkan ke tempat lain dalam kawasan sama. – MalaysiaGazette