Dari kiri Kair Hakim, Noor Azri Noor Azerai, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai Mohd Fadly Amri Aliaman, Dr Hisham Hakim, Ketua Pegawai Eksekutif Balsam Health Services Abdulkader Awad dan Nurul Faten Jasmee bergambar selepas majlis menandatangani SCA di Dubai hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysia Genomics), memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik (SCA) yang menggariskan perkongsian untuk memasarkan dan mengedarkan rangkaian perkhidmatan pemeriksaan genetik Dtect® Kumpulan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka tempatan itu, SCA itu melibatkan American Spine Centre (ASC), pakar dalam kecederaan tulang belakang dan patologi tulang belakang; BALSAM Health Services (BALSAM), penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan; Wellness by Design FZ LLC (Wellness by Design), pakar pemakanan, obesiti dan penurunan berat badan dan Sharjah, IAC International LLC (IAC) yang semuanya berpangkalan di UAE.

Dalam SCA itu, Malaysia Genomics, ASC, BALSAM dan Wellness by Design akan meneroka strategi umum untuk projek bersama atau bersekutu yang diterjemahkan kepada alat atau penyelesaian penjagaan kesihatan yang inovatif.

Manakala peranan IAC untuk menyokong aktiviti dalam bidang keutamaan yang menyelaraskan pihak dan bekerjasama dengan organisasi lain yang difikirkan sesuai.

IAC juga akan menjadi titik hubungan antara Malaysia Genomics dan ASC, BALSAM dan Wellness by Design.

Pengarah Eksekutif MGRC Noor Azri Noor Azerai berkata, SCA itu membolehkan Malaysia Genomics berperanan untuk menyediakan sokongan teknikal dan saintifik di bawah SCA.

Di samping itu, syarikat ini  sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan perniagaan dan organisasi yang berfikiran sama dalam mengembangkan jangkauan pasaran untuk Dtect dan perkhidmatan yang lain.

“Kami mempunyai kelebihan daya saing dari segi kos dan mempunyai makmal yang diperakui untuk menjalankan ujian saringan. SCA ini juga merupakan peluang untuk kami mencari peluang dalam pasaran AS yang besar dan menguntungkan yang mana ASC mempunyai pangkalan dan kehadiran sejak 1991.” katanya di sini hari ini.

Pengerusi ASC, BALSAM dan Wellness by Design, Dr. Hisham Hakim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah pertama ini dalam hubungan kerja dengan Malaysia Genomics dan IAC dan menantikan kemasukan Dtect untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pesakit mereka.

”Kami komited terhadap kecemerlangan klinikal dan teknologi kerana kami membawa penjagaan pesakit yang diselaraskan dengan belas kasihan dan komitmen sambil memastikan kecekapan kos,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Ejsekutif IAC, Nurul Faten Jasmee berkata, terdapat banyak peluang untuk pengembangan perkhidmatan pemeriksaan genetik di UAE dan rantau Timur Tengah Afrika Utara (“MENA”) yang lebih luas.

“Kami akan menyediakan penyelarasan, penyampaian perniagaan dan pengurusan projek antara pihak semasa ujian teknikal untuk Dtect di UAE, diikuti dengan pelancaran dan pengembangan komersial di seluruh wilayah MENA,” katanya. – MalaysiaGazette