KUALA SELANGOR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam ini memberi bayangan untuk meletakkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai calon bagi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
“Itu kerja Amir (Amirudin) yang nak jaga Gombak…Kita akan hantar panglima utama Selangor untuk berdepan di Gombak..tapi ini bukan pengumuman rasmi, rasmi nanti Jumaat ini,” katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Negeri Selangor, di sini, malam ini.
“Saya dah bocor soalan, saya bincang dengan Amir (Amirudin), dia kata saya ini panglima, saya mampu insya-Allah pertahankan (untuk PH),” kata Presiden PKR itu.
Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sebelum ini dilaporkan berhasrat mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15.
Azmin telah menjadi Ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal, yang dimenanginya atas tiket PKR.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, ketika ditemui selepas program itu, berkata beliau dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja. – BERNAMA