Megat Fakhri didakwa atas lima pertuduhan bersubahat menipu membabitkan pembekalan peralatan perubatan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Seorang pegawai perubatan di Jabatan Orthopedik Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan bersubahat menipu membabitkan pembekalan peralatan perubatan bernilai RM16,875 tahun lalu.

Tertuduh, Megat Fakhri Kamaruzaman, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut empat pertuduhan, Megat Fakhri didakwa bersubahat dengan pemilik perniagaan Sri Persada Megah Enterprise, N. Sarrvesh untuk menipu empat kakitangan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa memperakui pembayaran kepada syarikat itu untuk membekal dan pemasangan External Fixator bagi Jabatan Orthopedik HSJ berjumlah RM11,880.

Manakala, bagi satu pertuduhan, dia didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan pemilik perniagaan Perintis Medfix Enterprise, K. Khirubakaran untuk menipu seorang doktor bagi memperakui pembayaran pembelian implan Total Hip Arthroplasty bagi jabatan sama sebanyak RM4,995.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Orthopedik, HSJ di sini antara Julai 2020 hingga Mei tahun lalu.

Megat Fakhri didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan Abd Muntaqin Abdul Aziz.

Tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim dan M. Puveneswaran.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 selain syarat tembahan perlu menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan dan dilarang mendekati saksi.

Kes akan disebut semula pada 29 November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast