Noor Azleen Ambros

PASIR GUDANG – Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros menyangkal tohmahan bahawa parti itu akan mencalonkan individu lain selain mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) nanti.

Tegasnya, sayap Pemuda UMNO kekal teguh dan konsisten dengan pendirian untuk menyokong Ismail Sabri. Bukan itu sahaja bahkan BN paling komited menjayakan genda pembaharuan institusi.

Oleh itu, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bahawa institusi kehakiman dan Peguam Negara akan dikawal dan dilemahkan jika Barisan Nasional (BN) menang PRU15.

”Jangan lupa, BN sejak dahulu mementingkan dan menjayakan agenda pembangunan institusi. Antaranya usaha memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk memastikan sistem kehakiman negara bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau menjawab tuduhan Hassan yang mendakwa bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri jika BN menang dan bukan Ismail Sabri.

Perkara itu merupakan 10 kebimbangan yang dikemukakan Hassan sekiranya BN diberi mandat semula.

Kebimbangan lain termasuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara dan melepaskan Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam kenyataan tersebut, Hassan mendakwa Malaysia akan mengikuti kegagalan Sri Lanka yang mana rasuah berleluasa, ekonomi gagal dipulihkan, kos sara hidup meningkat, nilai ringgit semakin jatuh dan inflasi melonjak.

Sambil menolak kebimbangan itu, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang menegaskan kebimbangan terbesar rakyat negara ini adalah sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

”Saya juga nak ingatkan kepada Pak Hassan bahawa Barisan Nasional bukan macam PH dan PKR. Ini kerana PH telah terbukti gagal menguruskan negara selain telah banyak merosakkan banyak institusi penting dalam negara, selain mencabuli Perlembagaan yang menjadi asas penting pembentukan Malaysia.

Dalam kenyataan itu, Noor Azleen secara sinis berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hassan seolah-olah sudah nampak potensi BN untuk menang dalam PRU ini.

”Seolah-olah Pak Hassan macam menjangka memang kami akan menang. Alhamdulillah,” ujarnya. – MalaysiaGazette