SINGAPURA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat Malaysia yang menetap di Singapura menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
“Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang walaupun (tinggal) jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah berkenan bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La, di sini malam ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis santapan itu yang turut disertai anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian untuk pengundi Malaysia melaksanakan tanggungjawab pada PRU15.
Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula 10 Oktober untuk pilihan raya umum berkenaan dan bagi permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 2 Nov bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, polis, tentera, dan petugas media); 23 Okt bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 26 Okt bagi kategori 1C (agensi/organisasi).
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan telah saling membantu antara satu sama lain daripada pelbagai aspek ketika kedua-dua negara berdepan pandemik COVID-19.
Turut hadir dalam majlis santapan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin selaku Pegawai Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri kini dalam rangka lawatan negara ke Singapura selama empat hari yang berakhir esok.
Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lepas. – Bernama