Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor dipercayai menyenaraikan beberapa calon muka lama bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Berdasarkan senarai yang dilihat MalaysiaGazette, parti itu mengekalkan tujuh pemimpin popular di negeri itu untuk membantu BN mengekalkan kerusi yang dimenangi komponen itu sebelum ini.

Nama-nama tersebut ialah Datuk Chua Tee Yong (Labis); Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong); Datuk Wee Ka Siong (Ayer Itam); Datuk Seri Hishammuddin  Hussein (Sembrong); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjong Piai).

Bagaimanapun, lensa MalaysiaGazette tertumpu kepada kerusi Parlimen Pontian apabila mendapati nama penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak kelihatan dalam senarai tersebut.

Nama yang diletakkan bagi memenangi kerusi Parlimen Pontian adalah Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Sumali Reduan.

Turut menjadi tumpuan bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim diletakkan di Parlimen Pagoh untuk menentang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin juga dicalonkan di Parlimen Kota Tinggi.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pula diletakkan di Parlimen Simpang Renggam menentang penyandangnya yang juga calon PKR, Dr Maszlee Malik.

Selain itu, BN turut menyenaraikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, yang juga Pengerusi Perhubungan MIC Johor, Datuk Asojan Muniyandy di Parlimen Segamat, dan bekas ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat di Parlimen Sekijang.

Daripada 26 senarai itu, 13 daripadanya adalah calon muka baharu dengan 10 adalah daripada UMNO dan tiga daripada MCA.

Antaranya Ketua Puteri UMNO Pulau, Nor Akmal Muhammad di Parlimen Pulai dan Ketua Pergerakan UMNO Ledang, Arifuddin Wagiman di Parlimen Ledang.

Turut tersenarai adalah bekas calon DUN Bentayan Gan Qi Ru di Bakri; Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmy Abd Latiff di Parlimen Muar bagi menentang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua UMNO Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan di Parlimen Sri Gading.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, tidak dapat disahkan sama ada senarai tersebut adalah muktamad yang telah diberikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast