Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis

KUALA LUMPUR – Aktiviti memancang bapa dan dua anaknya di Sungai Gong, Rawang, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras malam tadi.

Pengarah Bomba Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8 malam daripada orang awam mengenai insiden tersebut.

Katanya, bertindak atas laporan itu, pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 8.28 malam.

“Pemerhatian mendapati kejadian melibatkan tiga ahli sekeluarga hanyut ketika cuba menyeberangi sungai selepas aktiviti memancing yang mana dua mangsa berjaya diselamatkan oleh pemancing lain yang berada di lokasi semasa kejadian itu.

“Kedua-dua mangsa terselamat tidak mengalami sebarang kecederaan dan pencarian mangsa ketiga berusia 16 tahun itu diteruskan menggunakan kaedah water surface searching,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Norazam, pencarian telah diperluaskan ke perangkap sampah berdekatan dengan menggunakan bantuan anjing pengesan K9 dan unit dron.

“Hasilnya, mayat mangsa yang hilang itu akhirnya berjaya ditemui pada Khamis pada jam 2.30 petang di kawasan perangkap sampah Fruit Valley, Bestari Jaya, Rawang iaitu lebih kurang 10 kilometer daripada lokasi asal mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pihak bomba dan diserahkan kemudian kepada polis untuk tindakan lanjut bedah siasat,” ujarnya.

Tambah beliau, identiti mayat dikenalpasti sebagai Muhammad Alif Fajmi Abdullah berusia 16 tahun. – MalaysiaGazette