Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Wan Rosdy Wan Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2022.

BERA – Warga Felda akan sentiasa menikmati pelbagai manfaat apabila memilih wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Jelas beliau, ia terbukti dengan pelbagai inisiatif yang digerakkan saban tahun bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda sebelum negara diteraju kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu.

“Kalau nak pilih, pilihlah kerajaan yang boleh membela kita.

“Jika kita menang besar, keadaan politik akan bertambah baik. Yang untung adalah tuan puan yang sentiasa setia kepada kerajaan yang memerintah suatu ketika dahulu,” katanya ketika berucap di Program Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama yang diadakan di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, di sini hari ini.

Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh hadir pada Program Himpunan Keluarga Felda Teguh Bersama di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2022.

 

Tambahnya, pada sambutan Hari Peneroka Felda 2022 lalu, peneroka Felda diberi peruntukan khas RM66,000 bagi setiap rancangan tanah sempena ulang tahun ke-66  kerana infrastruktur yang sempurna penting kepada kesejahteraan warganya,”ujar beliau.

Justeru, beliau berkata, sejumlah RM924,000 daripada dana tersebut diserahkan kepada 14 buah rancangan tanah di Parlimen Bera hari ini.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif lot generasi Felda dengan sebanyak 8,670 unit lot telah dikenal pasti dan 770 unit telah pun dilaksanakan secara undian lot.

Warga Felda turut diberi peruntukkan berjumlah RM20 juta  menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan kepada pinjaman-pinjaman perumahan dalam kalangan generasi baharu.

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai juga akan disiapkan pada Disember 2021 menerusi inisiatif pembiayaan swasta dengan kos pembangunan RM204 juta.

”Bagi memberikan peluang kepada generasi baharu untuk melebarkan perniagaan, Tabung Usahawan Belia FELDA dengan dana pusingan RM10 juta juga disediakan.

”Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM2.6 bilion kepada tiga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar iaitu Felda, Felcra dan RISDA,” ujar Perdana Menteri.

Kerajaan turut bersetuju memberi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Felda di seluruh negara sebanyak RM800 sebulan selama empat bulan kerana Kerajaan memahami cabaran dan kepayahan yang dihadapi pekebun kecil getah pada
musim tengkujuh.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi tujuan penstrukturan semula hutang-hutang Felda.

Menurut Ismail Sabri, Felda pernah berada di puncak kegemilangan tetapi terpaksa menempuh pelbagai ujian dan meredah cabaran yang sukar.

Namun, berkat sokongan daripada kerajaan dan usaha pengurusan Felda, Pelan Pemulihan Felda telah mula menunjukkan hasil sekali gus membuktikan cerminan terhadap komitmen Felda dalam memperkasa tadbir urus yang lebih baik demi kemaslahatan warganya.

“Alhamdulillah, Felda juga berjaya menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi pengauditan Penyata Kewangan FELDA bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 pada 20 Oktober 2022,”ujarnya.

Ketibaan penyandang kerusi Parlimen Bera ke program hari ini diiringi lebih 1,000 buah motosikal daripada generasi muda Felda Mayam dan kawasan sekitar daerah ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh, barisan exco kerajaan dan pemimpin setempat.

Program terbabit turut dihadiri lebih 5,000 orang pengunjung dalam kalangan peneroka, generasi muda dan kaum orang asli penduduk di sini.

Dalam majlis berkenaan juga, beliau turut melancarkan buku rangkuman pencapaian 66 Tahun Felda bertajuk Buku Menempa Kejayaan.- MalaysiaGazette