Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO menasihatkan anak muda usah terpesona dengan kelicikan musuh parti itu dalam menawarkan janji.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pakatan Harapan (PH) umpamanya cuba bermain populis dengan menabur pelbagai janji manis untuk anak muda mengundi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Sedangkan, kata beliau, janji pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pendidikan percuma yang dijanjikan pada PRU14 tidak dilaksanakan.

“Oleh itu, anak muda Malaysia usah terpesona dengan janji itu. Jangan terpedaya dengan kelicikan lawan Barisan Nasional (BN) bermain populis.

“Pelbagai janji manis untuk anak muda pada PRU14 yang hanya propaganda meraih undi perlu dijadikan iktibar seperti janji mansuh PTPTN, pendidikan percuma sepenuhnya dan mahu bawa kumpulan muzik tertentu ke Malaysia.

“Mereka juga menjanjikan konon akan wujudkan satu juta pekerjaan, ‘bawa pulang’ rakyat bekerja di Singapura dan banyak lagi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, anak muda boleh saksikan ketidakstabilan yang dibawa oleh mereka kepada negara sepanjang diberi peluang menjadi kerajaan.

Katanya, pengundi muda perlu memastikan kestabilan dan kemakmuran kembali terbentuk demi masa depan mereka dengan memilih BN.

“Ingatlah, Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, kukuh lagi berkemampuan dari sekarang.

“Dunia pula diramalkan berdepan dengan kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023 oleh banyak badan antarabangsa.

“Berbanding gabungan politik lain, insya-Allah BN dengan pengalaman mentadbir negara mampu mendepaninya,” kata beliau.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tanpa kerajaan yang kukuh, stabil dan berkemampuan, golongan muda antara yang paling terjejas.

“Peluang pekerjaan dan kerjaya untuk mereka semakin terhad. Peluang memiliki kediaman juga semakin terkesan.

“Peningkatan kos sara hidup yang gagal ditangani oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan bertambah merisaukan, malah MPN yang asas kewujudannya sejak 4 September tahun lalu adalah politik semata-mata,” katanya.

Beliau menjanjikan sekiranya BN menang mutlak, kerajaan akan kembali berfungsi sebagai sebuah pasukan tanpa ugutan dan tuntutan politik.

Ini sekali gus memudahkan usaha membentengi rakyat daripada impak kemelesetan ekonomi global.

“Bahkan, ramalan kemelesetan ekonomi dunia hanya berbaki beberapa bulan sahaja selepas PRU15.

“Oleh itu, buatlah pilihan yang tepat dan yang amat penting dalam menentukan hala tuju negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast