Charles Santiago.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengingatkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke supaya tidak mencemarkan intergriti beliau dalam usaha mengurangkan kesan akibat pengguguran dirinya sebagai calon pilihan raya.

Charles berkata, beliau tidak pernah dimaklumkan oleh parti bahawa tahun 2018 akan menjadi pilihan raya umum terakhir beliau.

“Tolong jangan cemarkan integriti saya untuk menguruskan tindak balas.

“Biar saya jelaskan perkara ini: Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah memaklumkan kepada saya bahawa 2018 akan menjadi kali terakhir saya akan diletakkan sebagai calon,” ciap Charles di Twitter.

Charles menegaskan, beliau menyertai politik dengan tujuan hanya untuk memperjuangkan agenda rakyat dengan menjadi suara kepada mereka.

Beliau memilih DAP kerana berasakan parti itu adalah pilihan terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Dengan sinis ahli Parlimen Klang selama tiga penggal itu berkata, dia tidak menyertai politik kerana mahu membentuk pengikut sendiri.

“Izinkan saya meluruskan rekod: Saya memasuki politik semata-mata untuk memajukan agenda rakyat dan memberi suara kepada mereka yang tidak boleh bercakap untuk diri mereka sendiri.

“DAP adalah platform yang saya pilih dan ia adalah platform terbaik untuk saya berbuat demikian, yang mana saya amat bersyukur. Saya bukan dalam politik untuk membina puak saya,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Anthony dalam sebuah laporan berita sebuah portal hari ini.

Menurut portal berkenaan, Anthony berkata, Charles sudah tahu PRU14 adalah penggal terakhir beliau.

Katanya, ketika khabar angin Charles akan digugurkan sebagai calon, penyandang ahli parlimen Klang itu juga menawarkan diri untuk berkhidmat semula di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Anthony berkata, DAP telah bersetuju bahawa pilihan raya umum 2018 menjadi yang terakhir buat Charles.

“Charles telah difahamkan yang 2018 adalah penggal terakhirnya sebagai calon. Dia telah diberitahu pada masa itu (itu penggal terakhirnya),” kata Loke dalam wawancara dengan Malaysiakini di ibu pejabat DAP semalam.

Pada malam Rabu lalu, DAP mengumumkan ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau akan menggantikan Charles sebagai calon di Parlimen Klang pada PRU15, selepas beberapa minggu timbul spekulasi mengenainya.-MalaysiaGazette